Laut, luas
Silap haribulan boleh lemas
Sama seperti darat
Silap hari bulan memang boleh lemas
Rimas
Malas
Atau mati terus.
Laut, luas
Silap haribulan boleh lemas
Sama seperti darat
Silap hari bulan memang boleh lemas
Rimas
Malas
Atau mati terus.
Dunia ini bulat
Dia berputar atas paksinya
Siang dan malam, itu fitrahnya
Begitu juga roda,
Dia berputar atas paksinya
Atas dan bawah, itu juga fitrahnya
Roda-Bulat-Dunia
Cliché bukan?
Maka jadikan hidup aku sebegitu
Biasa-biasa sahaja.
Naikkan aku ke atas supaya aku dapat melihat di bawah
Melihat senyum dan tawa
Tapi jangan lamakan aku di awangan
Takut nanti aku tidak berpijak di tanah rata
Maka jatuhkan aku ke tanah supaya dapat menghempas jiwa
Dengan segala macam cela dunia
Untuk aku kumpul semua rasa
Supaya aku bangkit tanpa gentar tanpa kata.
Jangan jadikan aku manusia
Jikalau aku tidak kenal manikam dan kaca.
Jangan jadikan aku raja
Jikalau aku tidak kenal palsu dan payah.
Jangan jadikan aku guru
Jikalau aku tidak kenal usaha dan dungu.
Jangan jadikan aku anak
Jikalau aku tidak kenal hidup dan mati.
Putarkan aku ke atas, lalukan aku ke bawah
Pusingkan aku ke kanan, palingkan aku ke kiri
Letakkan aku ke sisi oasis, campakkan aku ke laut mati
Sesakkan aku dengan kalimah Rabbmu, palitkan aku dengan seranah dunia
Untuk aku menjadi manusia yang tahu sujud pada yang ESA.
Ku sangka belikat seteguhlah batu
Tapi hakikat sekerdil kelakatu
Sayang disayang kita berdua tidak kesampaian
Rajuknya hati hilang kesepian.
Berlari ke hulu arus mudik ke hilir
Mencari dahulu yang jauh terpinggir
Mana hilangnya madu yang manis dibibir
Yang kujumpa hanya hempedu yang sudi menghampir.
Ikhlaskan hati untuk terima segala macam bencana
Siap-siapkan juga pelita, senjata
Sungguh janji Tuhan itu benarlah belaka
Insyaallah bahagia akan menjelma.
Jasad perempuan tua itu
Pernah meyarungkan kurung putih untuk aku
Pernah menyuap makanan ruji tiga kali sehari untuk aku
Pernah menepuk bahu aku tika dingin malam menyapa aku
Pernah mengusap ubun kepala tika gigil melawan penyakit
Pernah menampar pipi waktu mulut lancang berkata-kata
Jasad perempuan tua itu
Pernah buat aku sesak.
Jasad perempuan tua itu
Kini sikit demi sedikit terhakis dek detik waktu
Makin menyusut menyembah bumi
Tidak takut jasad mula dimakan ruang dan masa
Sepertinya menyerah pada yang Maha Esa
Tuhan yang menciptakan manusia.
Jasad perempuan tua itu
Seperti mahu dibelai, ditatang dan diusap
Seperti mana dilakukannya sebelum aku baligh
Sebelum aku mula lari jauh dari dunia kecilnya
Sebelum dirinya mula menyendiri dipenjuru empat beralaskan simen.
Jasad perempuan tua itu
Terkadang aku lupa yang jasad itu masih bernyawa
Masih lagi mahu dimanja-manjakan, diberi perhatian
Tapi sayang hati membatu seperti aisberg, dingin membentuk bongkah
Jasad itu berdingkit-dingkit mengharungi sisa hidup
Yang entahkan bila mahu ditamatkan
Katakan aku kejam tapi aku tidak sanggup lihat tubuh itu bertahan untuk sehari lagi
Bertahan makan hati sendiri.
Jasad perempuan tua itu
Perlahan-lahan saat menghitung
Perlahan-lahan jasad itu dipaksa-paksa menatap suria dan purnama
Dan akhirnya kembali ke penjuru empat beralaskan simen
Menutup iris sehingga muazin melaungkan seruan subuh
Satu hari berlalu untuk satu hari yang kemudian.
Jasad perempuan tua itu
Aku kucup sembunyi-sembunyi waktu lenanya dia
Aku bisik sembunyi-sembunyi waktu lekanya dia
Aku khabar sembunyi-sembunyi waktu sibuknya dia
Aku tatap sembunyi-sembunyi waktu khayalnya dia
Aku laungkan sembunyi-sembunyi waktu bebelnya dia
Aku mahu hidup bersama dia sehingga dua dua menghadap Illahi
Aku mahu gembirakan hati dia sebelum hati aku ketawa
Aku mahu sarungkan perhiasan indah untuk dia sebelum diri aku dikapankan
Aku mahu cuci berak kencing dia sepertimana dia lakukan pada aku dahulu
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Walaupun bibir mula mengesot, kendur dan menampakkan pipi kedut dan gigi rongak dia
Aku tetap mahu dia senyum dengan senyuman yang paling comel
Sebab aku mahu dia hidup dengan memori paling indah buat seumur hidup aku
Aku mahu yang paling indah, paling cantik, paling molek dan paling segalanya hanya untuk dia.
Jasad perempuan tua itu
Tiada spare-part dalam dunia ini boleh menggantikannya
Tiada bionic woman yang boleh menyamai dia
Dia hanya satu tiada lima atau tigabelas
Dia permata hati saya
Dan saya terlalu ego untuk memberitahu dia yang saya sayang dia sampai mati
Saya cuma bisikkan dalam hati.