Arkib | Kawan
Pegang aku ketika aku goyah
Tompang aku ketika sungkur
Papah aku ketika lemah.
Itu kau kawan.
Ajarkan aku tentang dunia yang terbentang luas.
Kenalkan aku dengan kasih dan benci.
Jumpakan aku dengan hati dan mati.
Ceriakan aku dengan tawa dan duka.
Setiap pelusuk kita teroka, kawan.
Ada ketika bermasam muka, berpaling rasa
Tapi bila mengadu domba tidak pernah lupa pinjamkan bahu.
Meraung menginginkan kawan lebih dari inginkan tulang rusuk.
Menahan rindu untuk ketemu yang tidak tertanggung
Seperti orang yang memadu asmara tapi madunya kau kawan.
Betapa masa dan jarak membunuh
Membunuh hati dan perasaan
Terkadang terfikir apa aku ini tiada yang lain?
Kawan.
Ini untuk kau kawan.
Dan aku rindu untuk berkasih seperti dahulu.
Masa itu kejam
Dan jarak itu membunuh!
Arkib | Adam
Dan masih lagi cuba mencari
Adanya engkau membawa harapan
Menjadikan aku seorang puteri
Adakalanya aku seperti bermimpi
Diantara fantasi dan juga realiti
Agaknya aku mempunyai krisis diri
Mencari konklusi yang sepertinya sepi
Ada antara mereka mengatakan aku ini gila
Diam seribu bahasa aku tersenyum sendiri
Anggap itu semua hanya omongan kosong
Membuat perhitungan sesuka hati mereka
Aku manusia yang tidak mahu dimengertikan
Didepan mereka mahu sahaja aku jeritkan
Aku hanya manusia yang biasa sahaja
Mengapa masih kamu berkata-kata?
Antara akal dan hati
Dari simpang mana yang kamu hendak lalu?
Antara hidup dan mati
Masih rasa lagikah degup jantung itu?
Home
Tiada apa yang aku harapkan
Selain memberi bahagia buat dia.
Tuhan
Tiada apa yang aku mahukan
Selain melihat senyuman rongak dia.
Tuhan
Sudah lama dia menyendiri
Benarkanlah dia berjumpa arjuna hati.
Tuhan
Anggaplah aku manusia bangsat
Ambillah roh dan kembalikan jasad pada asalnya.
Tuhan
Cukuplah untuk hayatnya itu
Belikat sudah retak menanti belah.
Tuhan
Aku sayang dia
Maka aku izinkan dia pergi bila sampai waktu
Janganlah diseksa lagi daging tua itu
Palingkan semua cercanya pada aku
Kerana aku cucu paling bangsat sekali.
Jasad Perempuan Tua Itu
Jasad perempuan tua itu
Pernah meyarungkan kurung putih untuk aku
Pernah menyuap makanan ruji tiga kali sehari untuk aku
Pernah menepuk bahu aku tika dingin malam menyapa aku
Pernah mengusap ubun kepala tika gigil melawan penyakit
Pernah menampar pipi waktu mulut lancang berkata-kata
Jasad perempuan tua itu
Pernah buat aku sesak.
Jasad perempuan tua itu
Kini sikit demi sedikit terhakis dek detik waktu
Makin menyusut menyembah bumi
Tidak takut jasad mula dimakan ruang dan masa
Sepertinya menyerah pada yang Maha Esa
Tuhan yang menciptakan manusia.
Jasad perempuan tua itu
Seperti mahu dibelai, ditatang dan diusap
Seperti mana dilakukannya sebelum aku baligh
Sebelum aku mula lari jauh dari dunia kecilnya
Sebelum dirinya mula menyendiri dipenjuru empat beralaskan simen.
Jasad perempuan tua itu
Terkadang aku lupa yang jasad itu masih bernyawa
Masih lagi mahu dimanja-manjakan, diberi perhatian
Tapi sayang hati membatu seperti aisberg, dingin membentuk bongkah
Jasad itu berdingkit-dingkit mengharungi sisa hidup
Yang entahkan bila mahu ditamatkan
Katakan aku kejam tapi aku tidak sanggup lihat tubuh itu bertahan untuk sehari lagi
Bertahan makan hati sendiri.
Jasad perempuan tua itu
Perlahan-lahan saat menghitung
Perlahan-lahan jasad itu dipaksa-paksa menatap suria dan purnama
Dan akhirnya kembali ke penjuru empat beralaskan simen
Menutup iris sehingga muazin melaungkan seruan subuh
Satu hari berlalu untuk satu hari yang kemudian.
Jasad perempuan tua itu
Aku kucup sembunyi-sembunyi waktu lenanya dia
Aku bisik sembunyi-sembunyi waktu lekanya dia
Aku khabar sembunyi-sembunyi waktu sibuknya dia
Aku tatap sembunyi-sembunyi waktu khayalnya dia
Aku laungkan sembunyi-sembunyi waktu bebelnya dia
Aku mahu hidup bersama dia sehingga dua dua menghadap Illahi
Aku mahu gembirakan hati dia sebelum hati aku ketawa
Aku mahu sarungkan perhiasan indah untuk dia sebelum diri aku dikapankan
Aku mahu cuci berak kencing dia sepertimana dia lakukan pada aku dahulu
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Aku mahu dia senyum
Walaupun bibir mula mengesot, kendur dan menampakkan pipi kedut dan gigi rongak dia
Aku tetap mahu dia senyum dengan senyuman yang paling comel
Sebab aku mahu dia hidup dengan memori paling indah buat seumur hidup aku
Aku mahu yang paling indah, paling cantik, paling molek dan paling segalanya hanya untuk dia.
Jasad perempuan tua itu
Tiada spare-part dalam dunia ini boleh menggantikannya
Tiada bionic woman yang boleh menyamai dia
Dia hanya satu tiada lima atau tigabelas
Dia permata hati saya
Dan saya terlalu ego untuk memberitahu dia yang saya sayang dia sampai mati
Saya cuma bisikkan dalam hati.
Your Favorite Girl
I am not your favorite girl
Even I put my best effort to make your smile
I will never beat your other girls
As you always put them first before me
You remember their birthday instead of me
You can talk about them all day long
You know their favorite food
I should know by now
I am not your favorite girl
Never will
Never be.
Satu
Hilang
Hilang yang tak mungkin kembali lagi.
Lenyap
Lenyap yang tak mungkin kembali lagi.
Pergi
Pergi yang tak mungkin kembali lagi.
Kau
Hilang. Lenyap. Pergi.
Dan tak mungkin kembali.
Jasad bersatu dengan alam
Roh bersatu dengan Yang Esa
Yang tinggal hanya memori
Dan itu hidup pada mereka yang kasih dan rindukan engkau.
Kau hilang.
Kau lenyap.
Kau pergi.
Dariku dan aku rindukanmu.
I wrote this poem a few months back when missing my late granddad and suddenly it turned out a song. My very own first song. Under a tree with my Hoshi on a sunny day, I put a melody into it, something that I never thought me capable of doing it.