Jasad Perempuan Tua Itu


Jasad perempuan tua itu

Pernah meyarungkan kurung putih untuk aku

Pernah menyuap makanan ruji tiga kali sehari untuk aku

Pernah menepuk bahu aku tika dingin malam menyapa aku

Pernah mengusap ubun kepala tika gigil melawan penyakit

Pernah menampar pipi waktu mulut lancang berkata-kata

Jasad perempuan tua itu

Pernah buat aku sesak.



Jasad perempuan tua itu

Kini sikit demi sedikit terhakis dek detik waktu

Makin menyusut menyembah bumi

Tidak takut jasad mula dimakan ruang dan masa

Sepertinya menyerah pada yang Maha Esa

Tuhan yang menciptakan manusia.



Jasad perempuan tua itu

Seperti mahu dibelai, ditatang dan diusap

Seperti mana dilakukannya sebelum aku baligh

Sebelum aku mula lari jauh dari dunia kecilnya

Sebelum dirinya mula menyendiri dipenjuru empat beralaskan simen.


Jasad perempuan tua itu

Terkadang aku lupa yang jasad itu masih bernyawa

Masih lagi mahu dimanja-manjakan, diberi perhatian

Tapi sayang hati membatu seperti aisberg, dingin membentuk bongkah

Jasad itu berdingkit-dingkit mengharungi sisa hidup

Yang entahkan bila mahu ditamatkan

Katakan aku kejam tapi aku tidak sanggup lihat tubuh itu bertahan untuk sehari lagi

Bertahan makan hati sendiri.




Jasad perempuan tua itu

Perlahan-lahan saat menghitung

Perlahan-lahan jasad itu dipaksa-paksa menatap suria dan purnama

Dan akhirnya kembali ke penjuru empat beralaskan simen

Menutup iris sehingga muazin melaungkan seruan subuh

Satu hari berlalu untuk satu hari yang kemudian.



Jasad perempuan tua itu

Aku kucup sembunyi-sembunyi waktu lenanya dia

Aku bisik sembunyi-sembunyi waktu lekanya dia

Aku khabar sembunyi-sembunyi waktu sibuknya dia

Aku tatap sembunyi-sembunyi waktu khayalnya dia

Aku laungkan sembunyi-sembunyi waktu bebelnya dia

Aku mahu hidup bersama dia sehingga dua dua menghadap Illahi

Aku mahu gembirakan hati dia sebelum hati aku ketawa

Aku mahu sarungkan perhiasan indah untuk dia sebelum diri aku dikapankan

Aku mahu cuci berak kencing dia sepertimana dia lakukan pada aku dahulu

Aku mahu dia senyum

Aku mahu dia senyum

Aku mahu dia senyum

Aku mahu dia senyum

Walaupun bibir mula mengesot, kendur dan menampakkan pipi kedut dan gigi rongak dia

Aku tetap mahu dia senyum dengan senyuman yang paling comel

Sebab aku mahu dia hidup dengan memori paling indah buat seumur hidup aku

Aku mahu yang paling indah, paling cantik, paling molek dan paling segalanya hanya untuk dia.


Jasad perempuan tua itu

Tiada spare-part dalam dunia ini boleh menggantikannya

Tiada bionic woman yang boleh menyamai dia

Dia hanya satu tiada lima atau tigabelas

Dia permata hati saya

Dan saya terlalu ego untuk memberitahu dia yang saya sayang dia sampai mati

Saya cuma bisikkan dalam hati.




No comments: