Kronologi seorang aku

Kronologi seorang manusia bermula dengan ijab dan kabul antara lelaki dan kadi
Menikahi perempuan ajnabi untuk menjadi hak peribadi
Bila tetamu sudah pulang, menjadi halal antara mereka untuk mencipta privasi
Merangkul sang dara idaman teruna menikmati waktu bersanggama bukan lagi fantasi
Lalu mani jatuh dalam rahim mula mencari-cari sang ovari
Dan menunggu arahan dari Yang Esa untuk memulakan ovulasi.

Andai diizinkan Yang Berkuasa setitis mani menjadi darah
Segumpal darah membentuk seketul daging
Lalu dititipkan roh dan diolah sebaik mungkin
Perjalanan diri dari alam rahim sampai ke hujung dunia
Untung, rugi, sedih, happy semuanya tertulis dalam diari
Ditulis sampai mati.

Cukup ranum bila sudah tertubuhnya rohani dan jasmani
Atas kudrat seorang ummi berteraskan besi waja meneran sekuat hati
Kulit mulus koyak rabak semua tidak dipeduli
Asalkan satu jisim yang dikendong selamat diazankan sang suami
Makhluk kecil dipeluk dicium dipelihara seikhlas hati
Periuk belanga diisi halwa supaya menjadi manusia bistari.

Anak Adam menari menyanyi sampai universiti
Mula main lari-lari dengan ayah dan ummi
Kononnya itu semua hak peribadi tanpa sedar dia jauh menyendiri
Sudah berani meneroka sexuality dan punya sifat curiosity
Kepingin mencari seni dalam diri, mencari hati dalam mati
Mahu menjadi nakhoda lalu bahtera mula dikemudi
Namun separuh pelayaran ada yang karam bila laut mula menguji.

Satu masa nanti tanpa ada rasa canggung dan memang pasti
Terbujur jasad menyerah diri, merelakan dimandi dan dikapan dengan kain putih berseri
Andai aib si mati terbuka nanti minta jangan dikeji tapi buatlah pedoman diri
Maka berangkatlah tubuh kaku meninggalkan duniawi
Talkin mula dibaca semoga sarira diterima bumi dan roh pula merelakan untuk diuji
Setelah setiap satu perilaku dihisab walaupun sebesar biji sawi
Akhirnya akan tiba juga masa untuk menghadap Yang Tertinggi.

No comments: