Pulang ke dasar

Gemersik halus biola
Mainan nakal mata piano
Dikala langit suram
Mengetuk perlahan jiwa bolong
Bagaikan diracunnya minda
Khayal menikmati tali-tali halus bercerita.

Halus

Tanpa sedar
Satu per satu jari -jemari mula bergerak
Mengikut perlahan irama merdu
Suara-suara pantai mula berbisik
Pasir-pasir halus mula terpercik
Deruan ombak membantai laju
Seolah-olah memanggil aku
Untuk pulang.

Disorongnya keting halus ke persisiran
Tubuh mula mendamparkan diri
Terapung-apung dibaling pergi
Ah sial!
Lunak sungguh bunyi itu
Buat aku terus tenggelam ke dasar biru
Tanpa aku sedar

Mati dalam pembohongan.


Bunyi lagu halus yang terus bawa aku pergi jauh-jauh dari alam manusia

Lost in translation

I'm writing a song
about you.
But it seems that I've lost all the magic words
No matter how hard I tried
I can't finish it.

Jual beli

Sayang,
Aku kepingin
Dengan rasa jeruk
Yang pernah kau beri dulu.

Sayang,
Aku rindu
Dengan rasa rompong
Yang pernah kau beri dulu.

Sayang,
Aku rindu
Dengan rasa keparat
Yang pernah kau beri dulu.

Sekarang
Mana aku mahu cari semua itu
Sudah kehabisan.

Sayang,
Boleh aku beli dari kau?
Siang malam
Angin ribut
Percik halus-halus

Aku

Berdiri kaku
Menanti

Part 01 | Raden Aligarto Si Penjual Buku

Raden Aligarto punya sebuah kedai buku. Kedai buku lama. Hasil peninggalan bapanya, Raden Karokdil.

Walaupun kedai buku Raden Aligarto kecil tapi buku di dalamnya terlalu banyak sehingga tidak cukup rak-rak yang ada. Akibatnya, terlalu banyak buku-buku lama bersepah atas meja, atas lantai, bawah kerusi. Adakalanya Raden Aligarto memijak sahaja buku-buku tersebut kerana tiada ruang untuk berjalan.

Buku-buku lama itu adalah hasil peninggalan moyang sebelah ibu Raden Aligarto, Raden Buyayi. Moyangnya memang kuat membaca. Ada juga sebahagiannya diberi oleh kawan-kawan lama bapa Raden Aligarto yang tidak lagi memerlukan buku-buku tersebut. Ada juga yang Raden Aligarto beli di e-Bay kerana buku tersebut rare dalam pasaran.

Kedai buku lama Raden Aligarto tidak menjual buku-buku tersebut, cuma menyewakan sahaja kepada pelanggannya. Walaupun bisnesnya agak berisiko, Raden Aligarto cekap menguruskan semuanya setelah menimba ilmu dari bapanya, Raden Karokdil.

Setiap pelanggan yang mahu menyewa buku-bukunya perlu menulis alamat dan no telefon mereka. Raden Aligarto juga akan mengambil gambar pelanggan-pelanggannya. Semua maklumat akan disimpan di dalam komputer.

Ya. Raden Aligarto cekap menggunakan komputer. Jikalau zaman bapanya, Raden Karokdil, semua maklumat disimpan didalam buku lejar bersaiz A3 orientasi lanscape. Berpuluh-puluh buku lejar dikumpul oleh bapanya.

Tetapi zaman dah berubah. Maka semua maklumat itu telah dimasukkan ke dalam database yang dibuat sendiri oleh Raden Aligarto.

Ada juga pelanggan yang cuba menipu Raden Aligarto. Mereka berikan maklumat palsu. Tapi otak Raden Aligarto bergeliga. Mereka tidak tahu yang setiap kali mereka menyewa buku-buku dari Raden Aligarto, dia selitkan satu cip yang dapat mengesan kedudukan setiap buku-buku tersebut. Ala-ala gps tapi lebih hebat sebab cip tuh dapat kesan samada buku-buku tersebut diulang cetak ataupun dikoyak mukasuratnya.

Raden Aligarto tak suka kalau buku-buku lamanya diplagiat dan kemudian dijual semua. Baginya karya-karya dalam buku itu sangat berharga dan tidak boleh digunakan sesuka hati. Sebabkan itu Raden Aligarto meminta pelanggan-pelanggannya menandatangani beberapa dokumen hakcipta sebelum pelanggan bawa pulang buku-buku tersebut.

Astaka tanpa tangga

Astaka indah tanpa tangga
Dibina menawan dengan batu permata
Kilauannya memancar di seluruh pelusuk dunia
Mencipta sejarah segenap lapisan manusia
Andai diketahui cerita disebalik rupa indah
Astaka yang dibina kononnya sebab cinta
Kasihnya pada jasad perawan dijadikan musabab utama
Habis dicanang seluruh buana
Perihal peria mengabdikan diri kerna cinta.

Maka bodohlah manusia yang tenggelam dengan kisah cinta yang shahdu itu
Terbuai-buai syair tentang kisah kasih rindu mati pada sang perawan
Tanpa ketahui berpuluh-puluh tahun keringat sahaya telah dikerah
Didatangi dari setiap daerah selagi mana kaki mampu bertapak
Untuk mendirikan satu binaan gedang tanpa sigai
Tanpa belas dan kasihan, siang dan malam
Mereka itu mengabdikan diri pada batu kerikil
Habis kulit ditakik-takik, bibir kering tersompek sana sini
Tapi siapa mahu buat puisi perihal sahaya cabik.


Kamus:
Buana: Dunia
Gedang: Besar (Bahasa Minangkabau)
Sigai: Pasak yang dipasang untuk berpijak
Sahaya: Hamba
Cabik: Koyak

Sama adil

Manakan sama anak gajah dengan anak kancil
Masing-masing punya bijak bodoh yang tersendiri
Usah sibuk mengata nasib malang orang lain
Esok lusa muntah sendiri kau hirup balik
Tuhan itu hakim bistari
Sama cantik sama hodoh adil diberi
Elok terletak dipermukaan diri.